Sinopsis
Antologi Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi memuatkan pilihan cereka awal Rasiah Halil yang ditulis ketika beliau masih di bangku sekolah pada tahun-tahun 1972 sehingga 1980. Ia terdiri daripada 12 cerpen dan dua drama radio. Kecuali kedua-dua drama radio yang akhirnya tidak dihantar untuk disiarkan, kesemua cerpen dalam antologi ini telah diterbitkan.
Pada peringkat awal, cara penulisan Rasiah dalam Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi ini agak keremajaan tetapi ini berubah apabila beliau semakin menapak dalam bidangnya. Isu-isu remaja dan orang muda pada tahun-tahun 70-an banyak disentuh oleh Rasiah secara bersahaja tetapi kadangkala begitu tajam dan kritis. Beliau menyelongkar beberapa persoalan yang menyentuh anak muda zamannya misalnya isu-isu seperti pentingnya pembelajaran bagi kehidupan seseorang atau sesebuah masyarakat, kisah jatuh hati, pengaruh rakan sebaya, mencari jati diri, dorongan dan kekuatan dalaman dalam menjalani kehidupan, masalah perkahwinan campuran serta pentingnya nilai-nilai persahabatan dan kasih sayang. Satu yang ketara, terdapat juga watak-wataknya yang agak menongkah arus; berani berpendirian teguh walaupun terpaksa bersendirian kerana itu. Ini kita temui dalam cerpennya ‘Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi’, yang menggambarkan pergelutan jiwa watak utamanya untuk menerima keadaan seadanya ataupun sebaliknya. Ia juga ditemui dalam cerpen ‘Antara Dua Kasih’ apabila watak utamanya bergelut dengan dua pilihan yang sama-sama seakan menusuk jiwanya. Demikian juga dengan watak ‘Aku’ dalam cerpen ‘Pertemuan’ yang menghadapi konflik intelektual dalam penilaian sejarah.
Antologi Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi ini sesuai untuk tatapan semua peringkat masyarakat, bukan setakat golongan anak muda sahaja. Walaupun karya-karya ini ditulis ketika penulisnya masih bergelar remaja dan anak muda dan menggambarkan pelbagai masalah dan kecenderungan anak muda pada zaman tersebut, namun sejumlah kisah ini masih lagi bergema dalam masyarakat kita sehingga kini. Selain sebagai suatu dokumentasi sosial, cerita-cerita ini menampilkan juga prisma kepekaan dan kekuatan Rasiah Halil sebagai penulis cereka.
Pustaka Nasional © 2012
All Rights Reserved